KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melancarkan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok (CoE) pertamanya di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) bagi memperkukuh keupayaan pengurusan kes neurologi dan strok yang kompleks.
Menurut kenyataan KPJ Healthcare hari ini, pusat berkenaan adalah pusat kecemerlangan kedua di bawah sistem kesihatan KPJ (KPJHS) sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam memperluas perkhidmatan kepakaran serta memastikan standard penjagaan yang konsisten di seluruh rangkaian hospitalnya.
“Penubuhan Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok memperluas laluan rawatan klinikal berstruktur ke dalam bidang kepakaran berakuiti tinggi yang memerlukan koordinasi pantas merentasi rawatan kecemasan, pengimejan, rawatan rapi serta rehabilitasi.
“Pusat ini menghimpunkan pasukan multidisiplin merangkumi bidang neurologi, pembedahan saraf, perubatan kecemasan, radiologi, rawatan rapi dan rehabilitasi dalam satu sistem penjagaan yang bersepadu bagi menangani kecemasan neurologi,” menurut kenyataan itu.
Menurut KPJ Healthcare, menerusi model itu keputusan klinikal dapat dibuat lebih pantas, selain membolehkan intervensi tepat serta kesinambungan penjagaan sepanjang fasa rawatan dan pemulihan strok.
Model berkenaan turut menyokong pembangunan penyelesaian penjagaan strok berasaskan digital melalui kerjasama dengan KPJ Healthcare University.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) dan Pengerusi KPJ Healthcare University Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata penubuhan pusat itu penting dalam membangunkan KPJHS sebagai ekosistem bersepadu yang menghubungkan hospital, pendidikan dan penyelidikan.
“Dengan memperkukuh protokol klinikal, memacu inovasi serta terus berpandukan amalan terbaik peneraju global, kami sedang membina satu sistem yang mampu memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit di samping kekal bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan pula berkata pusat tersebut meningkatkan keupayaan operasi kumpulan dalam mengurus kecemasan neurologi melalui rangka kerja penjagaan bersepadu yang menyokong intervensi tepat pada masanya serta kesinambungan penjagaan selaras dengan komitmen Care for Life.
Pusat kecemerlangan di DSH2 menyediakan sistem pengurusan strok bersepadu bermula dengan pengaktifan segera di Jabatan Kecemasan, diikuti intervensi hiperakut, penjagaan kritikal dan rehabilitasi awal yang berstruktur.
Kemudahan berkenaan menawarkan akses 24 jam kepada Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) berteknologi tinggi serta perkhidmatan trombektomi mekanikal bagi rawatan strok akut.
Selain itu, pusat berkenaan melaksanakan penjagaan strok dan rawatan rapi berteraskan protokol dengan perubatan berasaskan bukti dan piawaian Mayo Clinic Care Network (“MCCN”).
-- BERNAMA