GAYA HIDUP

MICS Percepat Pemulihan Pesakit Jantung, Kurang Risiko Komplikasi

04/02/2026 03:52 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

PETALING JAYA, 4 Feb (Bernama) -- Tidak lagi memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, pembedahan jantung menerusi teknik invasif minimum memberi peluang kepada Hadibroto Sutanto Tang untuk kembali menjalani rutin harian dengan lebih cepat dan selesa. 

Dengan hanya kurang dari seminggu selepas menjalani pembedahan pintasan jantung menggunakan kaedah yang dikenali sebagai pembedahan jantung invasif minimum (MICS) di sebuah pusat perubatan swasta di sini, warga emas berusia 70 tahun dari Jakarta, Indonesia itu sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Memilih Malaysia sebagai destinasi rawatan, beliau tidak menyangka proses pemulihan menerusi teknik moden itu begitu pantas dan kurang menyakitkan, jauh berbeza daripada tanggapannya sebelum ini bahawa pembedahan jantung lazimnya memerlukan tempoh rehat yang panjang.

“Sepanjang pemulihan, saya cuma rasa sengal-sengal sikit saja (dan) tak ada sakit teruk. Pada saya, kalau ada salur darah tersumbat, lebih baik cepat dapatkan rawatan. Jangan tunggu sampai keadaan jadi serius,” katanya.

pic-2

Dibangunkan sejak akhir 1990-an, teknik pembedahan jantung MICS dilakukan dengan menggunakan kaedah hirisan kecil di celah tulang rusuk melalui bantuan peralatan khas sekali gus mengurangkan kesakitan, pendarahan serta risiko komplikasi, kata Perunding Pakar Bedah Kardiotorasik di Damansara Specialist Hospital 2 Prof Dr Shahrul Amry Hashim.

Mengulasnya semasa sidang media Kejayaan 200 Kes Pembedahan MICS anjuran Damansara Specialist Hospital 2 di sini, baru-baru ini, beliau berkata kaedah itu turut membolehkan pesakit untuk memulakan fisioterapi seawal satu hingga dua hari selepas pembedahan.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Shahrul Amry berkata sebelum perkembangan teknik moden itu, pembedahan jantung lazimnya dilakukan secara terbuka dengan memotong tulang dada bagi memberi akses kepada jantung, namun pendekatan itu lebih traumatik dan memerlukan tempoh pemulihan jauh lebih panjang.

“Bila tulang dada dipotong, ia macam tulang patah. Jadi, ia ambil masa dua hingga tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. Dalam tempoh itu, pesakit tidak boleh melakukan pelbagai aktiviti harian seperti mengangkat barang berat, memandu atau aktiviti lasak.

pic-3

“Kalau kaedah biasa, luka boleh mencecah kira-kira 30 sentimeter (cm) tetapi dengan teknik ini (MICS), hanya kira-kira empat hingga enam cm dan tiada pemotongan tulang dilakukan. Sebab itu proses pemulihan lebih cepat, biasanya dua hingga tiga minggu berbanding dua hingga tiga bulan bagi kaedah tradisional,” katanya

Biarpun begitu, katanya teknik berkenaan lebih kompleks selain pelaksanaannya bergantung kepada pengalaman pakar bedah serta pusat jantung yang mempunyai kepakaran tinggi.

Beliau yang berpengalaman melakukan lebih 500 pembedahan menggunakan teknik MICS sepanjang kerjayanya berkata kepakaran menjalankan prosedur tersebut di Malaysia ketika ini masih lagi terhad dengan hanya beberapa pakar yang aktif melaksanakannya.

“Kebanyakan pesakit sesuai dipertimbangkan untuk kaedah ini, namun ia tetap bergantung kepada penilaian klinikal. (Bagaimanapun), tak ramai yang buat secara aktif (pembedahan jantung teknik MICS), mungkin dua atau tiga orang sahaja.

pic-4

“Sebab itu, saya juga giat melatih pakar-pakar tempatan dan luar negara melalui bengkel serta latihan pembedahan supaya lebih ramai mahir dengan teknik ini,” katanya sambil menambah usaha pemindahan kepakaran itu penting bagi memperluas akses pesakit kepada rawatan kurang invasif.

Walaupun begitu, Dr Shahrul Amry yang mempunyai kira-kira 25 tahun pengalaman dalam bidang pembedahan jantung menegaskan rawatan pembedahan sahaja tidak mencukupi tanpa perubahan gaya hidup.

Beliau berkata ramai pesakit mempunyai faktor risiko seperti merokok, kurang bersenam, kolesterol tinggi, darah tinggi serta diabetes dan sekiranya semua faktor itu tidak dikawal, saluran darah boleh tersumbat semula biarpun selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Sangat penting jaga pemakanan, kekalkan berat badan sihat, bersenam secara berkala dan buat pemeriksaan kesihatan lebih awal terutama jika ada simptom seperti sakit dada, sesak nafas atau cepat penat,” katanya sambil menasihati individu yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung supaya menjalani saringan berkala bagi mengesan masalah lebih awal. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519871