EKONOMI

APEX Securities Lihat Tiada Keperluan Mendesak Turunkan Opr Susulan Pertumbuhan, Inflasi Stabil

06/03/2026 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Apex Securities Bhd melihat tiada keperluan mendesak untuk Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berikutan prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia yang kekal stabil.

Menurut firma broker itu dalam kenyataan hari ini, pendirian dasar semasa tidak memberikan ancaman segera kepada pertumbuhan negara melainkan wujud penurunan tidak dijangka di bawah unjuran BNM, iaitu 4.0 hingga 4.5 peratus bagi 2026.

Semalam, bank pusat mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, yang kekal pada paras tersebut sejak Julai 2025, menyatakan bahawa dasar monetari sedia ada adalah bersesuaian dan menyokong ekonomi selain memastikan kestabilan harga.

Mengenai impak konflik Timur Tengah dan dasar tarif Amerika Syarikat (AS), katanya prospek momentum pertumbuhan yang mampan hingga 2026 kekal utuh.

“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 kami pada 4.7 peratus berbanding 5.2 peratus pada 2025, dengan inflasi dijangka kekal sederhana pada 1.8 peratus berbanding 1.4 peratus tahun lepas,” katanya.

Berdasarkan pertumbuhan yang stabil dan inflasi yang rendah, firma broker itu menjangka BNM akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus sepanjang 2026.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531144