KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Skuad hoki wanita negara gagal ke separuh akhir kelayakan Piala Dunia 2026, sekali gus menutup peluang ke final selepas dikecewakan Jepun 0-4 pada aksi ketiga Kumpulan B di Santiago, Chile, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad wanita negara yang diberi julukan Malaysian Tigress kempunan untuk beraksi pada saingan akhir Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos depan.
Pada saingan yang berlangsung di Estadio Nacional itu, menyaksikan Jepun membuka tirai jaringan pada suku ketiga perlawanan menerusi gol padang yang disudahi Shiho Kobayakawa pada minit ke-39, sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-45 untuk meletakkan pasukan lawan di hadapan.
Pasukan lawan sekali lagi menghukum Malaysian Tigress dengan jaringan ketiga menerusi Hiroka Murayama tiga minit kemudian, sebelum melengkapkan kemenangan dengan gol keempat yang disudahi Akari Nakagomi pada minit ke-55.
Menerusi video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Wanita Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata kegagalan mengawal tekanan menjadi asbab pasukan kendaliannya dibolosi pada perlawanan hari ini selain beberapa kesilapan kecil memudahkan pasukan lawan menjaringkan gol.
“Pemain beraksi dengan baik pada suku masa pertama dan berdisiplin, pasukan Jepun agak sukar menembusi bahagian pertahanan kita, namun pada separuh masa kedua pemain berdepan tekanan tinggi.
“Pemain muda memerlukan lebih banyak perlawanan antarabangsa. Beberapa kesilapan membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol. Pada perlawanan penentuan kelima dan kelapan nanti kita akan kembali lebih kuat dan pastikan kita dapat tempat kelima atau keenam,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan skuad Malaysian Tigress dijadualkan beraksi bagi penentuan tempat kelima atau kelapan dan akan berdepan pasukan yang menghuni kedudukan keempat dalam Kumpulan A.
Hanya tiga pasukan terbaik setiap kempen kelayakan dan pasukan keempat terbaik yang memiliki ranking dunia lebih tinggi daripada kedua-dua pusingan kelayakan akan mara ke saingan akhir.
Satu lagi saingan kelayakan Piala Dunia 2026 berlangsung di Hyderabad, India.
-- BERNAMA