KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyalurkan tajaan berjumlah RM25 juta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), bagi memperkukuh pembangunan sukan hoki tanah air untuk tempoh lima tahun sehingga 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad berkata tajaan itu, melibatkan pecahan RM5 juta setahun bermula tahun ini hingga 2030, sebagai komitmen syarikat utiliti nasional itu dalam menyokong pembangunan dan kecemerlangan hoki negara.
“Kita memperuntukkan hampir RM25 juta daripada segi pembangunan, pertandingan dan juga bantuan kepada semua sekolah terlibat.
“Kita ingin melihat sukan hoki ini terus mendapat kejayaan serta dimartabatkan dan berharap suatu hari nanti, kita mampu menjadi juara dunia dalam sukan hoki,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Penajaan antara TNB dan KHM di bagi tahun 2026 hingga 2030, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Sementara itu, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal pula merakamkan penghargaan kepada TNB, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan hoki negara.
“Alhamdulillah, tahun ini saya difahamkan kontrak ini untuk lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM25 juta dan TNB memahami kita perlukan dana.
“Kita harap dana ini akan digunakan dengan sebaik mungkin, supaya dapat meningkatkan lagi prestasi sukan hoki dan menghadirkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.
-- BERNAMA