AM

Laporan Kemalangan Kereta Api Dan Motosikal Troli Dibentang Ke Kabinet Sabah

05/03/2026 08:46 PM

KOTA KINABALU, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membentangkan laporan kemalangan kereta api dengan motosikal troli di Tenom dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu depan.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata telah meminta laporan daripada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

“Laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya dan juga dipanjangkan kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini.

“Saya akan membentangkan laporan siasatan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon berkata pembentangan laporan itu bagi memaklumkan perkembangan siasatan kepada Jemaah Menteri Sabah selain menentukan tindakan susulan bersesuaian berhubung insiden tersebut.

Pada 3 Mac, kereta api itu melanggar empat motosikal troli di KM134/4 Pangi, Tenom dipercayai akibat hilang kawalan susulan masalah brek. 

Ketua Polis Daerah Tenom Superintenden Azmir Abd Razak berkata kemalangan 8 pagi itu menyebabkan seorang lelaki cedera ringan. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530831