KOTA KINABALU, 4 Mac (Bernama) -- Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah Malaysia (CILTM) Bahagian Sabah menyuarakan kebimbangan berhubung insiden kereta api yang hilang kawalan akibat masalah brek di laluan Tenom-Pangi dalam kejadian, semalam.
Justeru, CILTM menggesa satu penilaian segera serta penaiktarafan sistem keselamatan kereta api dilaksanakan agar selaras dengan piawaian pengurusan aset moden berasaskan risiko.
Walaupun tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden melibatkan kereta api penumpang yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi, CILTM berpendapat kejadian berkenaan adalah amaran kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem pengangkutan Sabah.
Kereta api berkenaan berjaya dihentikan selepas penduduk kampung meletakkan motosikal troli di landasan bagi memperlahankan pergerakannya, sekali gus mengelakkan kemungkinan ia daripada tergelincir.
“Kegagalan brek hingga mencetuskan senario kereta api hilang kawalan menimbulkan persoalan asas mengenai disiplin penyelenggaraan, pertindihan sistem, protokol pemeriksaan dan kesiapsiagaan kecemasan,” katanya Pengerusi CILTM Bahagian Sabah Daniel Doughty dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Antara langkah dicadangkan institut berkenaan ialah pelaksanaan siasatan teknikal bebas bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan brek, selain audit menyeluruh terhadap rekod penyelenggaraan tren dan rangka kerja pematuhan keselamatan di bawah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah.
“Dapatan siasatan perlu didedahkan secara telus bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap rangkauan kereta api Sabah,” katanya.
Beliau berkata bagi laluan luar bandar seperti Tenom-Pangi yang mempunyai pilihan pengangkutan terhad, pengendali memikul tanggungjawab lebih besar untuk memastikan piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan operasi berada pada tahap tertinggi.
“Perkara ini tidak boleh dianggap sebagai insiden terpencil. Kejadian yang hampir mengundang padah merupakan amaran dan mengabaikannya adalah sesuatu tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Daniel berkata CILTM melalui barisan pakar relnya, bersedia menyumbang kepakaran teknikal serta panduan profesional bagi memperkukuh aspek keselamatan, daya tahan dan tadbir urus sistem kereta api Sabah.
“Pengangkutan awam mesti boleh dipercayai. Paling utama ia mesti selamat,” katanya.
-- BERNAMA