AM

MINDET Teliti Usaha Tingkat Kecekapan Operasi Pelabuhan Sabah

05/03/2026 06:22 PM

SANDAKAN, 5 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) sedang meneliti usaha meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri MINDET Datuk Ewon Benedick berkata isu berkaitan pelabuhan yang dibangkitkan pemain industri akan terus menjadi komitmen utama pihaknya.

“MINDET di bawah kepimpinan saya akan terus komited memastikan usaha penambahbaikan pelabuhan dapat dilaksanakan oleh agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat konsesi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lawatan kerja ke Pelabuhan Sandakan semalam adalah bagi melihat sendiri aduan selain mendengar taklimat daripada Pengurus Sandakan Port Hayati Md Enarji.

“Saya juga mengalu-alukan komitmen Sabah Ports Sdn Bhd selaku operator Pelabuhan Sandakan yang akan membawa jentera-jentera baharu tahun ini bagi meningkatkan kecekapan operasi di pelabuhan itu,” katanya.

Ewon berkata dalam lawatan itu, beliau turut mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkaitan permohonan Zon Bebas Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Lahad Datu.

“Saya menghargai pandangan dan komitmen semua pihak untuk menjayakan pembangunan Zon Bebas di Lahad Datu dengan mengambil kira keseimbangan konservasi alam sekitar. MINDET akan mengangkat hasil mesyuarat ini ke Jemaah Menteri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ewon turut mengalu-alukan penglibatan aktif syarikat swasta tempatan dalam sektor logistik serta usaha mereka mengembangkan perkhidmatan berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530785