JENAYAH & MAHKAMAH

KTMB Tahan Lelaki Cuba Curi Kabel

05/03/2026 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menahan seorang lelaki warga asing dipercayai cuba mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di KM 37.478, sektor Telok Gadong-Teluk Pulai, semalam.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Polis Bantuan KTMB yang melakukan rondaan di kawasan panas kecurian kabel pada 6.45 petang.

“Apabila didekati, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan beg kecil, sebilah pisau dan gunting dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu,” menurut kenyataan tersebut.

KTMB memaklumkan suspek dan barang bukti diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 7.20 malam.

Suspek ditahan di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) kerana menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api yang boleh didenda, penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“KTMB memandang serius sebarang pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan operasi tren dan perkhidmatan kepada penumpang,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta segera menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB menerusi talian 03-2263 1194 (24 jam) atau balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530729