AM

Malaysia Kekal Komited Bantu Palestin Meskipun Tidak Anggotai Lembaga Keamanan

26/02/2026 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu rakyat Palestin di Gaza meskipun tidak menganggotai Board of Peace (Lembaga Keamanan) yang ditubuhkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Malaysia sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan dalam apa juga cara bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel, termasuk melalui penyaluran bantuan kemanusiaan, sokongan diplomatik serta kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa.

“Walaupun kita tidak menyertai Board of Peace dalam keadaan sekarang, tetapi peranan Malaysia membantu penderitaan rakyat Palestin di Gaza akan kita teruskan dalam apa jua cara untuk kita bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan tambahan Senator Pele Peter Tinggom yang ingin tahu pendirian Malaysia berhubung penubuhan Board of Peace serta langkah yang diambil kerajaan dalam memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin terus disalurkan secara berkesan.

Mengulas soalan tambahan mengenai isu penyelewengan derma untuk Gaza oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagaimana disuarakan Senator Dr Mohd Hatta Md Ramli, Mohamad mengakui wujudnya laporan media mengenai perkara tersebut yang melibatkan penyelewengan dana sumbangan rakyat Malaysia.

Bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan ketirisan, beliau berkata Kementerian Luar Negeri (KLN) telah menubuhkan satu tabung khas iaitu Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

"Kita mahu supaya kita sendiri yang menguruskan (dana). Kita mempunyai trustee (pemegang amanah) yang terdiri daripada Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha dan Pegawai Kewangan Kementerian.

"Akaun ini juga dibentangkan kepada Kabinet secara berkala dan diaudit bagi memastikan setiap sumbangan diurus dengan baik," katanya.

Mohamad berkata KLN turut menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah terbukti mempunyai rekod prestasi yang telus dalam misi bantuan mereka.

Beliau turut menekankan kepentingan bantuan segera dalam bentuk makanan dan barangan keperluan asas memandangkan situasi di pintu sempadan Rafah yang mencabar serta faktor cuaca yang melanda wilayah itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527911