KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti dan menambah baik perundangan sedia ada khususnya Kanun Keseksaan bagi menangani ancaman campur tangan asing secara lebih spesifik dan berkesan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata langkah proaktif itu perlu memandangkan elemen campur tangan entiti luar ketika ini tidak disentuh secara mendalam di bawah lunas perundangan negara.
Beliau berkata sebagai sebuah negara hukum, ketiadaan peruntukan undang-undang yang khusus menyukarkan agensi keselamatan dan penguatkuasaan untuk membendung anasir subversif itu secara tuntas.
“Kalau kita tidak ada undang-undang, hendak ambil tindakan itu memang amat susah atau mustahil... sebab itulah kita perlukan asas perundangan yang kukuh.
“Dengan adanya perundangan tersebut, kita boleh mengambil tindakan pembuktian dan perundangan dengan cara yang lebih berkesan,” katanya dalam program Bicara Naratif: Dimensi Baharu Keselamatan Negara yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini.
Mengulas mengenai cabaran mengekang pengaruh asing di era keterbukaan digital ketika ini, Raja Nurshirwan berkata dalam pengurusan keselamatan dan perisikan, aspek "kesan" jauh lebih penting berbanding "niat" sesuatu pihak.
Justeru, beliau berkata setiap perkara yang mempunyai elemen syak wasangka atau berpotensi menjadi Trojan Horse kepada keselamatan negara wajib disiasat secara terperinci.
“Kalau kita tidak siasat, maknanya kita tidak menjalankan tanggungjawab kita dengan sempurna... dari segi pengurusan keselamatan, ia dijalankan secara profesional dan proaktif,” katanya.
Raja Nurshirwan turut memberi jaminan bahawa agensi-agensi perisikan dan keselamatan di Malaysia kekal neutral dari segi politik selain sentiasa menyampaikan fakta serta kebenaran kepada kerajaan yang memerintah tanpa dipengaruhi sebarang sentimen kepartian.
-- BERNAMA