PASARAN

Ringgit Meningkat Semula, Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Dipacu Permintaan Baharu

04/03/2026 07:21 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Ringgit mengakhiri penurunan selama tiga hari berturut-turut untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, disokong permintaan baharu terhadap unit tempatan.

Prestasi itu dicapai walaupun dagangan kekal dalam julat kecil apabila peniaga dan pelabur terus berhati-hati ekoran risiko geopolitik.

Pada 6 petang, ringgit meningkat 0.09 peratus kepada 3.9395/9465 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9495 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran sedang memantau kesan perang AS dan Israel terhadap Iran ke atas ekonomi dunia, khususnya dari segi inflasi.

Beliau berkata kalangan negara yang bergantung import minyak kepada negara Timur Tengah terutama negara Asia seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan, berkemungkinan menghadapi gangguan bekalan minyak mentah yang seterusnya boleh menjejaskan harga bahan api domestik masing-masing.

Persoalan penting adalah sejauh mana serius dan tempoh perang tersebut akan berlanjutan, justeru sentimen elak risiko terus mempengaruhi pasaran, katanya.

“Esok, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kami berpandangan kadar tersebut dijangka dikekalkan pada 2.75 peratus.

“Lebih penting, pasaran mahu mengetahui penilaian terkini MPC BNM mengenai perang Iran dan kesannya terhadap ekonomi global serta domestik,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik mengukuh berbanding euro kepada 4.5738/5819 daripada 4.5778/5842 ketika ditutup pada Selasa namun susut berbanding pound British kepada 5.2640/2733 daripada 5.2451/2524.

Ringgit juga kurang stabil berbanding yen Jepun kepada 2.5062/5108 daripada 2.5010/5048.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara rakan ASEAN.

Mata wang tempatan sedikit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0864/0921 daripada 3.0863/0909 ketika ditutup semalam, serta rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5246/5541 daripada 12.4401/4637.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 233.1/233.7 daripada 233.7/234.2 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.74 daripada 6.75/6.76.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530419