KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Farm Fresh Bhd mengesahkan pengarah ladangnya Jacob Mathan ialah rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas helikopter di Pililla, wilayah Rizal, Filipina semalam.
Pengarah Urusan kumpulan Loi Tuan Ee dalam catatan di akaun Facebook rasmi Farm Fresh berkata helikopter itu dilaporkan mengalami masalah enjin semasa lawatan ke tapak ladang berpotensi di negara itu.
Jacob,35, yang menyertai keluarga Farm Fresh sebagai pelajar latihan industri universiti pada 13 tahun lepas adalah seorang yang bertanggungjawab dan mempunyai kemampuan yang tinggi untuk mempelajari perkara baharu.
“Beliau seorang yang menyenangkan dan ceria, berbudi pekerti mulia, tidak pernah menyakitkan hati sesiapa dalam keluarga Farm Fresh selain penyayang dengan haiwan di ladang.
“Sepanjang beberapa tahun ini, Jacob telah mencapai kecemerlangan dalam kerjaya beliau, daripada satu peringkat ke satu peringkat, dan akhirnya menjadi pengarah ladang kami,” kata Loi.
Beliau berkata Jacob menyumbang kepada peningkatan prestasi syarikat terutama dalam segmen ladang tenusu di samping membina hubungan yang baik dengan semua ahli pasukan, kontraktor dan pembekal berkaitan.
Jacob juga telah membina hubungan yang kukuh dan mendapat kepercayaan daripada agensi kerajaan berkaitan terutama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
“Saya yakin Farm Fresh mempunyai kekuatan dari segi kepimpinan di bahagian ladang, yang telah dibangunkan dan diperkukuh sepanjang beberapa tahun ini, diterajui oleh Jacob.
“Dalam kita mengenang sumbangan Jacob, marilah kita terus bekerjasama untuk menjadi lebih kuat walaupun berdepan kehilangan yang menyedihkan ini,” kata Loi.
Jacob meninggalkan seorang isteri.
Loi juga mengesahkan Ketua Pengarah Eksekutif Farm Fresh di Filipina, Shawn Pu yang mengalami kecederaan kini dalam keadaan stabil.
Semalam, Philippine News Agency (PNA) melaporkan Civil Aviation Authority of the Philippines (CAAP) sedang menyiasat insiden pendaratan paksa helikopter Bell 505 dalam perjalanan dari Manila ke wilayah Quezon.
Menurut agensi berita itu, Lembaga Siasatan dan Pemeriksaan Kemalangan Pesawat CAAP sedang melakukan siasatan dan butiran lanjut akan dimaklumkan kemudian.
-- BERNAMA