KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek lelaki negara Muhammad Ridwan Sahrom sedia menggalas misi memburu pingat menggantikan abangnya Muhammad Shah Firdaus di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Filipina, Mac ini.
Beliau berkata buat masa ini namanya menjadi sandaran negara untuk beraksi dalam acara pecut dan keirin bersama Datuk Azizulhasni Awang.
Malah, Muhammad Ridwan yang lebih dikenali sebagai 'Boy' menyasarkan untuk membawa pulang pingat bagi kedua-dua acara individu berkenaan.
"Saya meletakkan sasaran lima terbaik bagi acara individu. Jika peluang cerah, saya akan cuba membawa pulang pingat.
“Sebelum ini, saya banyak beraksi dalam acara berpasukan, kini masanya untuk membuktikan kemampuan secara individu. Walaupun Shah tiada, saya akan cuba memberikan yang terbaik," katanya kepada Bernama hari ini.
Sebagai rekod, Muhammad Shah tidak beraksi di ACC Filipina kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut yang dialami sejak tahun lalu.
Dalam pada itu, Muhammad Ridwan berkata skuad negara akan berlepas ke Melbourne, Australia, minggu depan bagi persiapan menghadapi ACC Filipina.
Skuad pecut negara akan dibarisi Azizulhasni dan Muhammad Ridwan, manakala acara pecut berpasukan lelaki melibatkan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Mohamad Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Ridwan.
Bagi skuad wanita, acara pecut berpasukan negara menyenaraikan Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid.
-- BERNAMA