SHAH ALAM, 3 Mac (Bernama) -- Akauntan Negara Datuk Zainani Jusoh dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Dis, 2025, bagi memperkukuh hubungan strategik antara ahli akademik dan sektor awam.
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu bertujuan untuk memperkukuh kolaborasi antara UiTM dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam bidang perakaunan sektor awam, pembangunan profesional, penyelidikan serta penerbitan ilmiah bersama.
“Ini juga selaras dengan usaha memastikan kurikulum perakaunan sentiasa relevan dan selari dengan keperluan semasa tadbir urus kewangan kerajaan.
“Kerjasama ini dijangka memberi impak signifikan kepada pembangunan akademik, profesional dan penyelidikan, sekali gus memperkukuh kedudukan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan berorientasikan keperluan industri serta sektor awam negara,” menurut kenyataan itu.
Pelantikan tersebut disempurnakan dalam satu majlis rasmi di pejabat JANM di Putrajaya, yang turut menyaksikan penyerahan watikah pelantikan oleh delegasi UiTM yang diketuai Dekan Fakulti Perakaunan Profesor Dr Norli Ali.
Turut hadir Timbalan Akauntan Negara (Korporat) Nasran Omar, pegawai kanan Institut Perakaunan Negara (IPN) serta barisan pengurusan tertinggi Fakulti Perakaunan UiTM.
Majlis itu turut disusuli dengan perbincangan strategik antara kedua-dua institusi, merangkumi cadangan pemeteraian persefahaman rasmi, pelaksanaan program syarahan dan perkongsian kepakaran, penganjuran persidangan secara bersama-sama serta kolaborasi penyelidikan dalam bidang kewangan awam.
Sementara itu Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan penting kepada Fakulti Perakaunan UiTM.
“Pengalaman luas beliau dalam pengurusan kewangan sektor awam akan memberi nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan akademik dan profesional pelajar serta warga fakulti.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen UiTM untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan sebenar dalam tadbir urus kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata sinergi antara universiti dan agensi kerajaan penting dalam melahirkan graduan perakaunan yang kompeten, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pengukuhan sistem kewangan awam yang lebih telus dan mampan.
-- BERNAMA