EKONOMI

Pendedahan Malaysia Kepada Konflik AS-Iran Sederhana, Boleh Urus - Ahli Ekonomi

03/03/2026 09:47 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Malaysia mempunyai pendedahan yang sederhana kepada konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang sedang berlaku dan keadaan itu boleh diurus dari sudut makroekonomi, kata ahli ekonomi.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Rabiatul Munirah berkata ini kerana sebahagiannya disokong oleh kedudukan negara sebagai pengeksport bersih minyak dan gas.

Beliau berkata Malaysia mempunyai penampan separa apabila harga minyak global meningkat dan eksport tenaga akan menyumbang kepada hasil fiskal yang ketara, khususnya melalui Petronas serta aktiviti huluan berkaitan.

“Bagaimanapun, Malaysia juga merupakan pengimport bersih produk petroleum bertapis tertentu. Negara ini kekal bersepadu dalam rantaian bekalan global. Oleh itu, harga tenaga global yang lebih tinggi tetap akan mengalir masuk ke dalam ekonomi domestik,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah ekonomi itu berkata pendedahan Malaysia kurang tertumpu kepada hubungan perdagangan dua hala secara langsung dengan AS atau Iran, sebaliknya lebih kepada kesan limpahan global peringkat kedua melalui harga komoditi, aliran modal dan sentimen pelabur.

Mengenai impak sektor, beliau berkata sekiranya harga minyak kekal tinggi, sektor pengangkutan dan logistik, penerbangan, pembuatan khususnya industri berintensifkan tenaga seperti kimia dan pembuatan berat, serta pertanian, mungkin menghadapi tekanan kos berikutan kenaikan harga bahan api dan input.

“Kos tenaga yang lebih tinggi boleh mengecilkan margin keuntungan, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai kuasa penetapan harga yang terhad,” katanya.

Sektor yang mungkin menunjukkan daya tahan relatif termasuk pengeluar minyak dan gas, firma infrastruktur berkaitan tenaga, serta penyedia perkhidmatan huluan.

“Syarikat yang berkaitan dengan pengeluaran tenaga huluan mungkin meraih manfaat daripada peningkatan margin, manakala hasil fiskal yang berkaitan hidrokarbon boleh mengukuh dalam jangka masa pendek.

“Bagaimanapun, kesan keseluruhan bergantung kepada sebanyak mana kos tenaga yang lebih tinggi diserap melalui subsidi berbanding dipindahkan kepada pengguna,” katanya.

Rabiatul berkata dalam senario asas, pasaran cenderung menganggap ketegangan geopolitik sebagai ketidaktentuan jangka masa pendek, khususnya jika tiada gangguan berterusan terhadap laluan bekalan tenaga global.

“Bagaimanapun, jika ketegangan meningkat sehingga menyebabkan kekangan bekalan yang berpanjangan atau ketidakstabilan serantau yang lebih meluas, risiko boleh beralih daripada ketidaktentuan pasaran kewangan kepada kesan ekonomi sebenar, termasuk pertumbuhan global yang lembap dan keadaan kewangan dengan dasar yang lebih ketat.

“Bagi Malaysia, risiko utama bukan terletak pada konflik dua hala itu sendiri, tetapi pada kemungkinan berlakunya kejutan tenaga global yang berpanjangan serta permintaan luaran yang lemah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529718