PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuan akhirnya untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes rasuah melibatkan projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan, bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar sebulat suara memutuskan bahawa tiada kesilapan dilakukan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah juga memutuskan bahawa Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa draf penghakiman yang bocor telah disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum beliau menyampaikan keputusannya pada 1 Sept 2022.
“Oleh itu, rayuan ini ditolak,” kata Hakim Nordin.
Rosmah, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, daripada kes berkenaan.
Nordin berkata satu-satunya isu dalam rayuan ini ialah sama ada fakta yang didakwa oleh pemohon (Rosmah), menimbulkan bahaya berat sebelah, timbul daripada hakim perbicaraan bergantung pada draf penghakiman atau pendapat yang disediakan pihak ketiga.
“Ini adalah untuk pemohon membuktikannya dan untuk hakim perbicaraan menentukan berdasarkan pengetahuannya tentang fakta. Afidavit balasan oleh responden (pendakwaan) serta afidavit balasan selanjutnya oleh pemohon tidak membantu dalam penentuan isu utama di sini.
“Ini bukanlah kenyataan fakta biasa antara dua pihak dalam sesuatu kes. Ini adalah permohonan untuk menggugurkan hakim perbicaraan, dan hakim perbicaraan berada dalam kedudukan untuk menyangkal fakta yang didakwa berdasarkan pengetahuan peribadinya.
“Kegagalan membalas afidavit responden hanya akan memberi kesan minimum terhadap sebarang salah laku dalam keadaan tersebut,” katanya.
Nordin berkata hakim perbicaraan, dalam alasan penghakimannya berhubung permohonan menggugurkan hakim menyatakan bahawa beliau tidak bergantung pada draf pendapat atau penghakiman unit penyelidikan tetapi menyediakan keputusannya berdasarkan penyelidikan sendiri dan penghujahan berdasarkan penyelidikan dan penghujahan oleh pihak-pihak dalam kes ini.
“Mahkamah Rayuan setelah meneliti draf pendapat atau draf penghakiman yang disediakan unit penyelidikan dan alasan penghakiman hakim perbicaraan, mendapati perbezaan antara kedua-duanya dan membuat kesimpulan bahawa hakim perbicaraan telah menyediakan alasan penghakiman itu sendiri tanpa bergantung pada draf pendapat atau penghakiman yang disediakan oleh pihak yang dipersetujuinya,” katanya, sambil menambah bahawa mahkamah juga mendapati bahawa ini tidak membuktikan kewujudan sebarang bahaya berat sebelah yang sebenar.
Mengenai keputusan hakim perbicaraan untuk tidak menangguhkan permohonan berkenaan, Nordin berkata perkara itu sahaja tidak menjadi alasan yang sah untuk hakim menarik diri.
“Pemohon telah diberi peluang didengar mengenai permohonan menggugurkan hakim selama kira-kira satu jam 15 minit, dan kami mendapati keputusan hakim perbicaraan untuk tidak membenarkan sebarang penangguhan permohonan adalah wajar dalam keadaan ini dan tidak melanggar mana-mana prinsip keadilan atau hak perlembagaan pemohon.
“Kami juga mendapati tiada sebarang kesalahan prosedur dalam kes ini,” katanya.
Rosmah mengemukakan permohonan untuk menggugurkan hakim pada saat akhir, sejurus Hakim Mohamed Zaini dijadualkan menyampaikan keputusannya pada 1 Sept 2022, dengan dakwaan bahawa draf penghakiman telah disediakan pihak ketiga dan bocor sebelum ia dikeluarkan secara rasmi.
Pada hari sama, Rosmah, 74, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah itu dan dihukum penjara penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, dengan tambahan hukuman penjara 30 tahun sekiranya gagal membayar denda itu.
Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Ditemui selepas prosiding, Datuk Jagjit Singh, peguam yang mewakili Rosmah berkata mereka akan menerima arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan, manakala seorang lagi peguam Datuk Akberdin Abdul Kader berkata rayuan utama dalam kes solar telah ditetapkan untuk pengurusan kes esok.
-- BERNAMA