JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Persekutuan Kembalikan Sabitan Rasuah, Isa Samad Jalani Hukuman Penjara Enam Tahun

10/02/2026 03:36 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya melibatkan RM3.09 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan pembebasan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

“Keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan responden (Mohd Isa) atas kesemua sembilan pertuduhan dikembalikan semula,” kata Nordin yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Nordin berkata bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah wajar dan selaras dengan undang-undang.

“Kami perlu menegaskan semula bahawa rasuah adalah perbuatan keji yang boleh memusnahkan sesebuah negara,” katanya.

Mahkamah mengeluarkan waran penahanan terhadap Mohd Isa, 76, untuk menjalani hukuman penjara mulai hari ini

Panel hakim itu mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun, serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Bayaran itu didakwa sebagai dorongan bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2522289