KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Projek membina semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran di Kota Kinabalu, Sabah dijangka dimulakan pada 20 Mac ini menggunakan kaedah Reka dan Bina dengan kos keseluruhan RM159.79 juta, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata projek itu melibatkan 216 unit kediaman baharu dengan pelbagai kemudahan sokongan bagi menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan berkualiti kepada penjawat awam.
“Projek ini antara inisiatif Kerajaan MADANI dalam menyediakan kuarters yang selamat, selesa dan kondusif kepada penjawat awam, seterusnya memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, khususnya di Sabah,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Roslan Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Datuk Ibrahim Esa dan Timbalan Setiausaha (Bahagian Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Nazrahtul Aini Baharum.
Kontrak pembinaan dianugerahkan kepada Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn Bhd manakala pelaksanaan serta pemantauan dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) dan JKR Malaysia.
Nanta berkata kerjasama erat antara agensi pelaksana dan pihak kontraktor amat penting bagi memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi ditetapkan, mematuhi tempoh pelaksanaan serta tidak melebihi kos yang diluluskan.
Flat Persekutuan KM4 yang dibina dan didiami sejak 1983 disahkan tidak lagi selamat pada 2022 selepas mengalami kerosakan struktur yang serius setelah hampir empat dekad beroperasi.
Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui JPM menyalurkan peruntukan khas bagi membina semula kuarters baharu yang lebih moden dan mampan demi menjaga keselamatan dan kebajikan penghuni.
Selain unit kediaman, pembangunan baharu itu turut merangkumi pembinaan surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang parkir serta fasiliti sokongan.
Nanta berharap semua pihak termasuk agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan sektor swasta dapat memberikan kerjasama padu bagi memastikan projek itu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat secara keseluruhan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebagai rakan kongsi strategik kepada JPM dalam penyediaan infrastruktur negara, JKR Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 24 SST sejak 2024 hingga kini.
“Dalam tempoh dua bulan pertama 2026 sahaja, tiga SST telah dikeluarkan termasuk bagi projek yang kita saksikan hari ini,” katanya.
-- BERNAMA