EKONOMI

Kerajaan Kekalkan Harga Subsidi RON95 Pada RM1.99 Seliter - Menteri Ekonomi

03/03/2026 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus kekalkan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter dan tidak bercadang untuk melakukan sebarang perubahan drastik dari segi harga serta dasar ketika ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah tidak menunjukkan indikator kukuh untuk mendorong kerajaan melakukan perubahan drastik terhadap dasar sedia ada mahupun mengubah harga minyak di pasaran domestik.

"Kementerian Ekonomi sedang memantau dengan teliti apa yang berlaku di Timur Tengah tetapi ia tidak memberikan sebarang petunjuk untuk kerajaan membuat sebarang perubahan drastik dari segi dasar kita.

"(Kerajaan) telah laksanakan subsidi bersasar, kita masih mengekalkan harga RON95 yang munasabah kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum CEOs OGSE 2026, di sini hari ini.

Pada 1 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi untuk rakyat Malaysia walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan situasi terkini konflik di Timur Tengah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, bagaimanpun kerajaan bertekad untuk mempertahankan harga petrol RON95 bagi program Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan masih mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.0-4.5 peratus walaupun konflik yang berlanjutan di Timur Tengah.

"Jika terdapat sebarang keperluan untuk melaraskan semula angka tersebut, ia akan dilakukan oleh Bank Negara tetapi setakat hari ini kami masih melihat ke hadapan dari segi apa yang kami sasarkan untuk pertumbuhan untuk 2026," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2529800