GAYA HIDUP

Sekolah Afwa Al-Aafiyah Di Gaza Kembali Beroperasi Dalam Khemah - Siti Nurhaliza

27/02/2026 05:21 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyles

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Di sebalik kesibukan Ramadan dan pelbagai komitmen seni, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus memberi tumpuan terhadap perkembangan Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza, Palestin yang kini kembali beroperasi dalam keadaan serba sederhana.

Menurutnya, sekolah yang dibangunkan menerusi Yayasan Nurjiwa itu didirikan semula menggunakan khemah besar sebagai ruang pembelajaran sementara selepas bangunan musnah dalam serangan rejim Israel.

"Wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Dr Mohanad Kullab di sana sudah bangunkan semula sekolah kita, tapi dalam keadaan yang serba kekurangan. Anak-anak di sana juga sudah mula kembali ke sekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Jiwa Prihatin 2025,di sini semalam.

Siti Nurhaliza berkata setiap kelas akan menempatkan lebih 10 pelajar dengan kemudahan asas seperti meja, karpet dan ruang berteduh disediakan bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar walaupun dalam suasana tidak sempurna.

pic-2

“Kita tahu mungkin apa yang dibina itu boleh runtuh semula, tetapi kita tak boleh berdiam diri. Hidup perlu diteruskan dan pendidikan anak-anak di sana mesti diteruskan.

"Kita juga sedang berusaha untuk membina struktur fizikal, saya berharap (dengan adanya kelas baharu ini) menjadi semangat baharu kepada kanak-kanak yang terkesan akibat peperangan (di Gaza)," katanya.

Pada September tahun lepas, artis nombor satu negara itu meluahkan rasa kecewa dan pilunya apabila sekolah yang menjadi tempat perlindungan dan pendidikan anak-anak Palestin musnah dibedil bom rejim Zionis. 

Dibangunkan sebelum tercetusnya perang pada 2021, sekolah yang diilhamkan seniwati itu bersama-sama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bertujuan memberi peluang pendidikan serta masa depan lebih baik kepada kanak-kanak di Gaza.

pic-3

Dalam perkembangan lain, Siti Nurhaliza turut melancarkan koleksi biskut raya edisi khas bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dan sebahagian hasil jualan akan disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa bagi menyokong inisiatif kemanusiaan termasuk bantuan pendidikan di Gaza.

Beliau berkata idea menghasilkan biskut raya itu sudah lama dirancang, namun hanya kali ini dapat direalisasikan sebagai antara cara mengumpul dana untuk membantu golongan memerlukan.

“Memang sudah lama saya terfikir nak buat bisnes kuih raya, tetapi yang ini lebih kepada memberi sumbangan semula kepada Yayasan Nurjiwa,” katanya.

Pilihan yang diketengahkan termasuk almond london, tart nanas dan biskut mazola yang disifatkannya sebagai kegemaran ramai serta dekat dengan cita rasa masyarakat Malaysia, sekali gus diharap mampu menarik sokongan orang ramai untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha kebajikan yang dijalankan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528449