BEIRUT, 2 Mac (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh manakala 149 lagi cedera pada pagi Isnin akibat serangan Israel yang menyasarkan pinggir selatan Beirut dan selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.
Angka tersebut adalah berdasarkan kiraan awal dan tidak muktamad, menurut kementerian itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam, memanggil mesyuarat tergempar Kabinet awal Isnin susulan serangan hebat Israel yang menyasarkan pelbagai kawasan negara itu, termasuk ibu negara, Beirut.
Salam memanggil Kabinet untuk bermesyuarat pada 8 pagi waktu tempatan (0600 GMT) di istana presiden, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
Mesyuarat itu dijadualkan untuk mengkaji perkembangan sejak malam tadi dan membincangkan langkah-langkah yang akan diambil kerajaan sebagai tindak balas.
Sesi kecemasan itu berlangsung di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak selepas pelancaran roket dari selatan Lubnan ke utara Israel.
-- BERNAMA-ANADOLU