KOTA KINABALU, 2 Mac (Bernama) -- Sebanyak 483 orang daripada 182 keluarga terjejas banjir di Sabah masih berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa jumlah itu menurun berbanding 557 orang daripada 172 keluarga berdasarkan rekod pada 8 malam tadi.
“Kesemua mangsa yang merupakan penduduk dari 93 kampung di Beaufort itu ditempatkan di PPS Dewan Dun Banir,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan di Sabah pagi ini, namun beberapa tempat di kawasan pedalaman dijangka mengalami ribut petir serta hujan pada sebelah petang dan malam.
-- BERNAMA