Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 27 Feb (Bernama) -- Bermula daripada minat terhadap makanan berasaskan cendawan, anak jati Pontian ini berjaya mengubah kegemaran itu menjadi perniagaan agro yang mampan, sekali gus sebagai sumber rezeki.
Pengusaha Cendawan Saifulam Agro Farm, Noor Saiful Amri, 42, berkata penglibatannya dalam perusahaan cendawan bermula pada 2005 ketika beliau masih bekerja di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO), yang kini dikenali sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, sebagai pendapatan sampingan.
Beliau berkata minat itu semakin mendalam apabila kerap membaca artikel berkaitan penanaman cendawan di akhbar, mendorong beliau mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Pertanian Daerah Pontian dan Johor Bahru selain mengikuti kursus di Johor sebelum mendalami ilmu penanaman cendawan di Universiti Putra Malaysia.
“Selepas itu, saya mula mempraktikkan ilmu yang dipelajari dengan mengusahakan penanaman cendawan secara kecil-kecilan dan menjual hasil tuaian kepada kakitangan universiti pada 2005 sebagai langkah awal menceburi bidang keusahawanan.
“Pada peringkat permulaan, jualan dilakukan secara sambilan seminggu sekali dengan hasil kira-kira 20 hingga 30 kilogram cendawan habis dijual.
“Walaupun pulangan ketika itu kecil, pendapatan sampingan sekitar RM400 hingga RM500 sebulan memberi keyakinan kepada saya untuk mengusahakan tanaman cendawan ini daripada proses awal hingga ia matang,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi mengenai modal permulaan, Saiful berkata beliau memulakan perusahaan itu dengan modal sendiri sebanyak RM5,000 pada 2005 bagi membina sebuah rumah cendawan bersaiz 20 x 20 kaki.
Katanya beliau telah menambah empat buah rumah cendawan serta membina kemudahan pemprosesan bongkah dan infrastruktur lain dengan jumlah pelaburan keseluruhan hampir RM100,000.
Dalam pada itu, katanya beliau turut menerima geran dalam bentuk barangan seperti mesin untuk proses membuat bongkah cendawan dan kukusan bongkah cendawan bernilai kira-kira RM50,000.
Dalam usaha mengembangkan perniagaan, katanya beliau mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Perindustrian Nasional Malaysia serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
Dengan pengalaman lebih sedekad mengusahakan pelbagai jenis cendawan termasuk cendawan kukur, katanya beliau kini memfokuskan sepenuhnya kepada pengeluaran bongkah cendawan tiram kelabu yang ditanam menggunakan kaedah bongkah dan dibekalkan kepada pelbagai pihak.
Menurutnya, pemilihan cendawan tiram kelabu itu berdasarkan permintaannya yang tinggi dan penggunaannya yang meluas dalam masakan tempatan seperti cendawan goreng tepung, tom yam dan nasi goreng.
Katanya permintaan terhadap bongkah cendawan diterima daripada pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, komuniti, individu dan peniaga menerusi projek pertanian di bawah Geran Sejati Madani di beberapa negeri.
“Pada tahun lepas, lebih 30,000 bongkah cendawan telah berjaya dijual dengan anggaran keuntungan kira-kira RM50,000.
“Bagi 2026, saya menyasarkan peningkatan jualan antara 80,000 dan 100,000 bongkah setahun sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat,” katanya, yang pernah menerima pengiktirafan di peringkat negeri dan kebangsaan pada 2023 menerusi inovasi penggunaan sisa nanas sebagai bahan alternatif bongkah bagi menangani isu kekurangan habuk kayu getah.
Katanya beliau turut berhasrat membuka ladang cendawan berkonsep agropelancongan, dengan penanaman pelbagai jenis cendawan selain membuka kafe bagi menjual produk makanan berasaskan cendawan.
-- BERNAMA