SHAH ALAM, 26 Feb (Bernama) -- Sebuah kilang memproses bahan plastik di Kawasan Perindustrian Tambak Jawa, Jeram di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku petang tadi.
Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Samsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.34 tengah hari dan tiba di lokasi 23 minit kemudian.
“Seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Bestari Jaya, Tanjung Karang, Klang Utara, Sabak Bernam dan Sungai Besar telah dikerah ke lokasi sebelum mendapati sebuah kilang memproses bahan plastik berstruktur terbuka dengan keluasan 200x100 kaki persegi musnah sekitar 80 peratus.
“Setakat petang tadi, sebanyak 50 peratus kawasan terjejas telah berjaya dipadamkan menggunakan sumber air terbuka dan tangki air melalui dua aliran hos sepanjang 700 kaki serta empat pancutan nozel manakala bakinya masih dalam tindakan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini, tiada mangsa dilaporkan manakala punca kejadian sedang dikenal pasti.
-- BERNAMA