JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 117 warga asing menerusi Ops Mahir di sebuah kilang peralatan perubatan di kawasan Senai, dekat sini pada 27 Feb.
Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu bermula pukul 7 pagi hasil risikan dan aduan awam.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 47 lelaki Myanmar, lima lelaki Bangladesh serta 65 wanita Myanmar, berusia antara 19 hingga 52 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah serta dipercayai bekerja tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata turut ditahan seorang warga tempatan yang bertugas sebagai pegawai sumber manusia bagi membantu siasatan.
Beliau berkata tindakan itu susulan pemantauan selama beberapa minggu terhadap majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos yang tinggi.
Kesemua individu terbabit ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA