JENAYAH & MAHKAMAH

KD Lekir Mulakan Pelayaran Lekir Australia Deployment 2026 Selama Dua Bulan

26/02/2026 08:34 PM

LUMUT, 26 Feb (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Lekir milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) di sini, bagi memulakan Lekir Australia Deployment 2026 (LEAD '26) dalam eksesais tentera laut multilateral, aktiviti diplomasi pertahanan serta pelayaran jarak jauh pada peringkat antarabangsa.

Majlis Pelepasan Tali KD Lekir disempurnakan oleh Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor di Jeti Operasi TPL di sini, pagi tadi.

Baharudin berkata penugasan kira-kira dua bulan itu melibatkan sebanyak 150 pegawai dan anggota serta pasukan sokongan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah KD Lekir Komander Megat Mohamad Sofwan Firdaus Megat Mohamad Yunus.

Sebelum memulakan pelayaran, beliau berkata seluruh warga kapal telah melalui persiapan rapi merangkumi aspek kesiapsiagaan operasi, latihan taktikal, penyelenggaraan teknikal serta pengurusan logistik bagi memastikan kapal berada dalam keadaan optimum untuk melaksanakan pelayaran merentasi perairan serantau dan antarabangsa.

"Penglibatan pertama KD Lekir ialah International Fleet Review (IFR) bersempena dengan ulang tahun ke-125 penubuhan Tentera Laut Diraja Australia yang akan berlangsung di Sydney pada 21 Mac ini," katanya kepada Bernama dan TV3 di sini, hari ini.

Baharudin berkata acara berskala besar yang menghimpunkan 35 kapal dari 20 negara itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan antara negara yang terlibat.

Beliau berkata KD Lekir juga akan menyertai Eksesais Kakadu 26 melibatkan 21 kapal dan sebuah kapal selam dari 14 negara yang akan berlangsung dari 22 hingga 30 Mac serta eksesais itu merupakan latihan dwitahunan anjuran Tentera Laut Diraja Australia.

"Selesai penglibatan di Sydney, KD Lekir akan meneruskan pelayaran Circumnavigation of the Australian Continent, iaitu pelayaran mengelilingi benua Australia.

"Pelayaran yang agak jauh, agak mencabar, laut pun mungkin bergelora, tetapi kita perlu beri ruang kepada warga TLDM untuk berdepan dengan suasana begini," katanya.

Beliau berkata KD Lekir juga akan menyertai Malaysia–Australia Exercise (MASTEX) 26 di Perth dari 14 hingga 20 April yang merupakan kesinambungan latihan dua hala antara Malaysia dengan Australia, dan menzahirkan pengukuhan semula hubungan profesional antara kedua-dua negara selepas beberapa kekangan dari segi jadual dan ketersediaan aset.

Beliau berkata sebelum mengakhiri LEAD '26, KD Lekir akan melaksanakan lawatan pelabuhan ke Jakarta, Indonesia dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan diplomasi pertahanan serantau bermula pada 26 hingga 29 April ini.

"Dalam perjalanan menuju ke Jakarta, KD Lekir akan melaksanakan satu acara peringatan khas ketika melalui perairan Barat Laut Australia bagi memperingati tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 bertujuan menzahirkan rasa empati dan solidariti terhadap mangsa serta mengenang jasa kapal-kapal TLDM yang terlibat dalam misi pencarian pesawat tersebut," katanya.

Baharudin berkata objektif penglibatan TLDM dalam eksesais dan penugasan seperti itu adalah untuk membina kesefahaman, meningkatkan keupayaan kebolehoperasian bersama angkatan laut sahabat serta memperkukuh keselamatan dan kapasiti pertahanan negara melalui kerjasama bilateral serta multilateral.

"Usaha ini juga selari dengan hasrat Kementerian Pertahanan dalam menjalinkan Strategi Perkongsian Berwibawa.

"Peluang dan pengalaman yang dilaksanakan menerusi latihan ini ialah kita tidak belayar hanya untuk satu perkara, buat sesuatu dan balik. Kita optimumkan keseluruhan penugasan untuk mendapatkan RoI (manfaat kepada TLDM) sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528111