AM

Kementerian Komunikasi Akan Terus Mudah Cara Pelaksanaan Projek Pelaburan Google - Fahmi

26/02/2026 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memudah cara pelaksanaan projek pelaburan syarikat gergasi teknologi Google sebanyak USD2 bilion di Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia meliputi langkah memastikan kesiapsiagaan infrastruktur dan pematuhan peraturan sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia sebagai hab serantau bagi data selamat, pengkomputeran awan serta inovasi kecerdasan buatan (AI).

“Pelaburan ini merangkumi pusat data dan perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia, dijangka menjana impak ekonomi USD3.2 bilion serta 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

“Malaysia terus diyakini sebagai destinasi utama ekonomi digital,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi turut berkongsi beberapa keping gambar dan video beliau menyertai sesi sidang video Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat serta pasukannya pagi tadi.

Pada Mei 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan awan pada peringkat tempatan serta global selain program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528156