KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata seorang daripada lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang awal pagi tadi, ialah pelajar Maktab Rendah Sains MARA Bentong.
Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Asyraf Wajdi berkata mangsa Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya amat terkesan dan dukacita atas insiden awal pagi tadi melibatkan seluruh keluarga Allahyarham. Lebih menyentuh hati, kakaknya terselamat kerana sedang menuntut di matrikulasi manakala adiknya di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Dong.
“Pastinya ujian ini terlalu berat untuk dipikul, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata apatah lagi melibatkan hampir seluruh ahli keluarga,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata MARA akan menghulurkan bantuan sewajarnya dan memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan diberi perhatian dan mendapat sokongan diperlukan dalam tempoh sukar itu.
Terdahulu, lima sekeluarga ditemukan maut dalam kebakaran rumah di Raub yang turut melibatkan masing-masing tiga kereta dan motosikal.
Selain Ruby Adira Batrisya, turut maut ialah ibu bapanya Mohd Alawi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta dua adiknya Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10 tahun.
-- BERNAMA