KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan negeri, pemain industri serta pihak berkuasa tempatan perlu lebih berani menganugerahkan kontrak berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi mempercepat pengunaan teknologi itu secara menyeluruh dalam ekonomi negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan, infrastruktur dan insentif, tahap penerimaan AI dalam kalangan industri masih perlu dipertingkatkan.
Beliau berkata sebahagian pemain industri belum memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ditawarkan untuk memperkukuh keupayaan teknologi dan meningkatkan produktiviti.
Menurut beliau, Malaysia kini giat mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau dan global sebagai destinasi pelaburan digital yang berdaya saing dan inklusif melalui pelaksanaan pelbagai strategi sedia ada dan baharu.
“Kerajaan telah menyediakan infrastruktur serta bantuan dalam bentuk geran dan insentif. Kini, usaha itu perlu disambut oleh industri termasuk syarikat PKS bagi memastikan transformasi AI dapat direalisasikan oleh industri, kilang dan syarikat PKS,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai kedudukan Malaysia dalam ekosistem AI serta strategi untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang melibatkan penciptaan teknologi, pemindahan kepakaran dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Sim berkata kegagalan melaksanakan transformasi AI secara menyeluruh berisiko menyebabkan negara kehilangan pelaburan, daya saing dan peluang pekerjaan.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil pendekatan bertanggungjawab dan berpandangan jauh bagi memastikan transformasi AI turut memperkasa PKS serta melonjakkan produktiviti negara,” katanya.
-- BERNAMA