JENAYAH & MAHKAMAH

Kontraktor Rugi RM1.2 Juta Terpedaya Kelas Pelaburan Saham Percuma

25/02/2026 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Seorang kontraktor kerugian RM1.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kelas pelaburan saham percuma dipromosikan menerusi aplikasi Facebook, Oktober tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu tertarik dengan tawaran tersebut pada 2 Okt 2025 dan menekan pautan disertakan sebelum dimasukkan ke kumpulan WhatsApp dikendalikan individu tidak dikenali.

“Setelah beberapa kali sesi kelas, guru dalam kumpulan WhatsApp telah menawarkan ahlinya satu peluang pelaburan saham terbaharu dengan jaminan keuntungan serta pampasan jika mengalami kerugian.

“Mangsa yang tertarik menyertai pelaburan itu menerima panggilan WhatsApp daripada seorang wanita memintanya memuat turun satu aplikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata pada 27 Nov 2025, mangsa membuat pindahan wang secara berperingkat ke enam akaun milik syarikat atau perniagaan sebelum berhasrat membuat pengeluaran keuntungan sebanyak RM600,000 pada Januari 2026. 

Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran komisen 10 peratus.

“Selepas membuat bayaran itu, mangsa dimaklumkan wang itu disekat Bank Negara Malaysia dan perlu membayar cukai sebanyak RM168,000,” katanya. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan pada 13 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Rusdi menasihatkan orang ramai untuk menyemak dengan portal Semakmule sebelum membuat sebarang transaksi dan merujuk senarai Top Ten CCID selain pelaburan yang sah tidak akan meminta individu memindahkan wang ke akaun syarikat pihak ketiga atau individu tidak dikenali melalui aplikasi sembang.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 10 syarikat dikesan terbabit dalam penipuan melibatkan 81 laporan telah dimasukkan ke dalam pangkalan data Semakmule CCID hingga 15 Feb.

Sebanyak 14 laporan diterima membabitkan syarikat SAC Global Sdn Bhd, Menjaya Makmur Sdn Bhd (13 laporan), Data Innovations Sdn Bhd (12 laporan) serta masing-masing 11 laporan terhadap SCSS Pro Trading Sdn Bhd, SCSS Asia Trading Sdn Bhd dan SCSS One Trading.

Selain itu, masing-masing 11 laporan melibatkan syarikat KK Solid Works Sdn Bhd, AEP Global Enterprise Sdn Bhd dan AEP Top Ventures manakala sembilan laporan melibatkan JM Maju Construction Sdn Bhd.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527525