EKONOMI

Pelan Tindakan JS-SEZ Gariskan Sektor Keutamaan, Infrastruktur Dan Pembangunan Bakat

25/02/2026 11:16 PM

JOHOR BAHRU, 25 Feb (Bernama) -- Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan dilancarkan pada Mac ini, akan berfungsi sebagai pelan hala tuju komprehensif yang menggariskan rangka kerja strategik, sistematik dan kolaboratif untuk fasa pembangunan ekonomi rentas sempadan yang seterusnya.

Pesuruhjaya Persekutuan dan Pengarah Pengurusan Korporat dan Kewangan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Nor Hisham Mohd Yusof berkata pelan tindakan itu yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi akan memperincikan bidang tumpuan pelaburan utama, sektor-sektor keutamaan, penambahbaikan infrastruktur dan pembangunan ekosistem bakat.

“Pada dasarnya, dokumen ini akan menentukan bagaimana kita bergerak ke hadapan secara strategik, sistematik dan kolaboratif,” katanya pada majlis Berbuka Puasa IRDA dengan media di sini hari ini.

Dilaporkan Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Mac di Johor Bahru.

Nor Hisham berkata JS-SEZ mewakili fasa baharu kerjasama ekonomi Malaysia–Singapura yang bertujuan memperkukuh rantaian nilai serantau, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan meletakkan Johor dan Singapura sebagai koridor pertumbuhan yang berdaya saing di peringkat global.

Inisiatif itu juga dijangka memangkin pelaburan yang berkualiti tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran, meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pembangunan infrastruktur di seluruh rantau ini.

Nor Hisham berkata pelancaran rasmi Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan, pihak berkepentingan industri, pelabur dan rakan kongsi antarabangsa, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha pembangunan serantau.

Beliau berkata dalam hal ini, media akan terus memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat, membina keyakinan pelabur dan mengetengahkan peluang baharu yang muncul hasil daripada pelaksanaan JS-SEZ.

JS-SEZ merupakan kawasan di Johor, direka untuk memupuk kerjasama ekonomi dan pelaburan antara Malaysia dan Singapura.

Ia bertujuan mewujudkan hab perniagaan yang dinamik dalam pelbagai sektor, dengan memanfaatkan kelebihan kedua-dua negara itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2527723