SIBU, 25 Feb (Bernama) -- Seorang penjawat awam wanita kerugian RM404,045 selepas terperdaya skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook sejak Oktober lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Boniface Bajai berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa mula terlibat dalam skim berkenaan selepas melihat iklan menerusi Facebook menggunakan nama ABS (Akademi Pelaburan Saham ABS) dan aplikasi ‘Astute’.
“Mangsa kemudian dihubungi sebelum diminta menyertai kumpulan WhatsApp ‘P-1-ABS’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa turut berurusan dengan seorang wanita yang mendakwa sebagai pembantu kepada ‘guru pelaburan’ dan pada peringkat awal diberikan cadangan saham.
Boniface berkata mangsa diminta membuka akaun pelaburan melalui aplikasi Astute dan membuat 18 transaksi pemindahan ke tiga akaun syarikat berbeza dengan jumlah keseluruhan RM404,045.
“Mangsa mula curiga apabila diminta membayar 20 peratus daripada keuntungan sebelum dibenarkan mengeluarkan dividen, namun wang berkenaan gagal dikeluarkan sehingga kini,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi serta membuat semakan melalui laman web Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau aplikasi Investment Checker.
-- BERNAMA