PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Perjanjian kerajaan yang bersifat strategik dengan firma semikonduktor global Arm Holdings Plc dari United Kingdom akan terus dilaksanakan dalam usaha Malaysia bergerak maju daripada peringkat reka bentik cip “back end” kepada “front end”.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perjanjian itu merupakan mandat kerajaan dan seiring dengan aspirasi dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) iaitu menghasilkan cip buatan Malaysia.
Malaysia kini berada di tangga keenam dunia dalam rantaian industri semikonduktor namun, negara masih tertumpu kepada “back end” seperti pembungkusan, katanya.
Beliau berkata mandat yang diputuskan Kabinet itu amat penting bagi memastikan akses kepada harta intelek (IP) Arm Holdings dapat dimanfaatkan oleh peserta industri tempatan dalam usaha negara menghasilkan cip Buatan Malaysia.
“Kita juga tahu...keputusan negara menjalinkan hubungan dengan Arm Holdings adalah keputusan mandat daripada Kabinet, maka sudah pasti segala proses ini kita teruskan termasuk dari segi akses kepada IP supaya pemain-pemain industri semikonduktor kita ada akses IP untuk reka bentuk cip,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Banci Ekonomi 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan akan meneruskan perjanjian dengan Arm Holdings walaupun siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berlangsung.
Pada 16 Feb lepas, SPRM dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Menurut sumber, siasatan itu dijalankan susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian berkenaan dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Susulan itu, SPRM dijangka memanggil beberapa saksi penting termasuk Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkaitan dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan berhubung pelaksanaan perjanjian itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai kertas siasatan yang dibuka itu namun enggan mengulas lanjut.
Akmal Nasrullah berkata melalui perjanjian sedia ada, dua syarikat telah ditawarkan akses IP pada tahun lepas.
“Fasa sekarang adalah melihat cara kita dapat tingkatkan ruang latihan melalui Arm Holdings, memandangkan komitmen kita dalam perjanjian tersebut adalah mewujudkan 10,000 bakat yang boleh diserap industri penciptaan cip.
“...dan membuka peluang lebih baik kepada anak muda, saya mengharapkan supaya perkara ini dapat diteruskan demi manfaat negara,” katanya.
Mengulas sama ada siasatan SPRM akan menjejaskan Malaysia sebagai hab AI dan sentimen pelaburan, Akmal Nasrullah berkata tumpuan Kementerian Ekonomi adalah memastikan dasar dan pelaksanaan perjanjian tidak terjejas.
“Apa-apa siasatan kita beri kerjasama sepenuhnya. Pada masa sama, melibatkan imej negara kerana Arm Holdings ialah syarikat bertaraf dunia dengan pegangan IP terbesar dalam penciptaan semikonduktor.
“Kita tidak mahu terlepas peluang kerana kita bersaing di peringkat rantau dalam rantaian bekalan semikonduktor. Jadi, tumpuan kita adalah memastikan kejayaan perjanjian ini yang bukan sekadar MoU (Memorandum Persefahaman), dan pelaksanaannya berjalan seperti biasa,” katanya.
-- BERNAMA