JENAYAH & MAHKAMAH

Disyaki Salah Guna Jawatan Dan Kedudukan, SPRM Tahan Exco Terengganu

22/02/2026 02:04 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan. 

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan pada 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman. 

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2018 dan 2020.

“Suspek, yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri, dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

 -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526264