KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Stesen Janakuasa Battersea telah melantik perancang dan pereka bentuk bandar strategik, Studio Egret West bagi mengembangkan pelan induk Rafael Viñoly yang asal untuk baki 6.47 hektar (16 ekar) kawasan kejiranan di tepi sungai yang berkeluasan 16.99 hektar (42 ekar).
Pelan baharu itu dijangka akan memberikan sehingga 3.2 juta kaki persegi ruang kediaman, komersil, kebudayaan dan riadah, menandakan fasa seterusnya dalam salah satu projek penjanaan semula tanah berskala besar yang paling penting di tengah London.
Pelantikan Studio Egret West akan memastikan projek itu mencerminkan perubahan dalam tingkah laku masyarakat dan teknologi untuk masa depan, kata Syarikat Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea melalui satu kenyataan.
Pelan itu akan memajukan tawaran penggunaan campuran di kawasan kejiranan tersebut, sambil menyumbang kepada Rancangan Pertumbuhan Datuk Bandar London.
Setelah terbiar selama hampir tiga dekad, Stesen Janakuasa Battersea telah dibeli oleh pemegang saham Malaysia pada 2012 dan sejak itu telah berubah menjadi destinasi guna bercampur yang menampilkan lebih 2,200 kediaman, kira-kira 800,000 kaki persegi ruang pejabat, stesen Bawah Tanah London Zon 1 yang baharu dan lebih daripada 1,50 kedai runcit, restoran serta riadah.
Stesen janakuasa tersenarai Gred II itu, yang dibuka semula kepada orang ramai pada 2022 berikutan pemulihan selama lapan tahun, telah menerima lebih 40 juta pelawat dari United Kingdom dan antarabangsa.
Fasa terakhir Stesen Janakuasa Battersea akan bersambung ke Nine Elms Park yang baharu, kawasan hijau seluas 5.66 hektar (14 ekar) dari Vauxhall, melalui Nine Elm dan berakhir di taman stesen janakuasa berhadapan sungai yang seluas enam ekar itu.
Sementara itu, pembinaan dua bangunan baharu rekaan Gehry, yang melengkapkan Electrick Boulevard dijangka akan dimulakan dalam beberapa bulan akan datang.
Stesen Janakuasa Battersea dan Majlis Wandsworth juga telah mengumumkan rancangan untuk membangunkan kira-kira 200 kediaman baharu majlis itu sebagai sebahagian daripada program Rumah untuk Wandsworth pada fasa akan datang, tertakluk kepada kelulusan perancangan serta pembiayaan.
Pengerusi Syarikat Pemegangan Projek Battersea, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata semakan semula ke atas pelan asal berkenaan datang pada momen yang kritikal, dengan menyatakan bahawa bandar itu telah berkembang dengan ketara sejak projek tersebut bermula pada 2012
“Saya bercakap bagi pihak pemegang saham dengan mengatakan bahawa London kekal sebagai salah satu bandar paling menarik dan inovatif di dunia, didorong oleh pertumbuhan selain sokongan ke atas kemasukan pelaburan.
“Kami berbangga dengan sumbangan Stesen Janakuasa Battersea kepada bandar yang hebat ini,” katanya.
Transformasi Stesen Janakuasa Battersea telah dicapai melalui pemegang sahamnya iaitu SP Setia, Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pada 2019, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP menjadi pemegang aset komersial jangka panjang stesen janakuasa itu, mencerminkan komitmen jangka panjang mereka terhadap projek tersebut.
-- BERNAMA