AM

LKAN: Ketakteraturan Serius Dan Pelanggaran Tatakelola Kutipan Yuran, Kewangan UKM

23/02/2026 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikesan berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan. 

Menurut  Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024, kutipan hasil dibuat oleh pihak tidak diberi kuasa iaitu Koperasi B-5-1788 bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta, merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.

"Perjanjian kerjasama tidak sah bagi SPEND dan DPLI kerana tidak mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan UKM," menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, hasil yuran pelajar sebanyak RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 termasuk RM0.87 juta yang diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.

Laporan itu menyatakan agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta, lewat diserahkan kepada pihak UKM antara 31 hari hingga 291 hari.

Selain itu, sejumlah RM5.32 juta yuran pelajar masih belum diserahkan kepada UKM setakat 31 Dis 2024 di antara satu hingga melebihi tiga tahun.

Audit juga mendapati wujud konflik kepentingan dalam pengurusan SPEND dan DPLI dengan lima pegawai UKM memegang jawatan penting dalam Koperasi B-5-1788 iaitu sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Ahli Lembaga Koperasi.

"Penglibatan pegawai-pegawai tersebut dalam pengurusan operasi secara langsung adalah bercanggah dengan kepentingan UKM dan tidak selaras dengan kedudukan sebagai seorang pegawai badan berkanun seperti ditetapkan dalam Akta 605," katanya.

Sementara itu, Audit mendapati perbelanjaan tidak teratur turut melibatkan sejumlah RM5.94 juta komisen kepada ejen yang tidak layak; RM107,907 perbelanjaan ke luar negara kepada enam individu bukan kakitangan UKM; dan sebanyak RM35,000 Elaun Pelajar Sangkutan Industri kepada pelajar tidak layak.

Justeru, laporan mengesyorkan supaya UKM menyemak dan memantau keseluruhan kutipan yuran pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 bagi memastikan semua yuran pelajar diserahkan mengikut ketetapan kontrak dan mengelakkan sebarang kelewatan.

Selain itu, tindakan juga hendaklah diambil bagi mengutip baki yuran pelajar yang belum diserahkan kepada UKM.

Pada masa sama, UKM hendaklah mengkaji semula perjanjian kerjasama sedia ada dan apa-apa perjanjian akan datang berhubung dengan yuran pelajar serta memastikan perjanjian tersebut dibuat selaras dan berpandukan sepenuhnya kepada peruntukan Perlembagaan UKM sebagai instrumen perundangan yang mengawal kuasa serta fungsi universiti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526629