KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sebanyak 9,554 pesakit talasemia direkodkan dalam data rasmi Laporan Tahunan Pendaftaran Talasemia Malaysia 2023 yang diterbitkan pada 2025, melibatkan 102 hospital Kementerian Kesihatan (KKM) serta dua hospital universiti yang merawat pesakit talasemia.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata anggaran kos rawatan bagi pesakit yang bergantung kepada transfusi darah mencecah hampir RM3 juta seorang dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun.
“Jumlah ini merangkumi kos penjagaan kesihatan (92.5 peratus) dan kos perbelanjaan penjagaan kesihatan yang ditanggung oleh pesakit dan keluarga (7.5 peratus).
“... iron chelation merupakan penyumbang utama kepada kos rawatan, iaitu sebanyak 56.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kos, diikuti oleh kos transfusi darah sebanyak 13.1 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai jumlah pesakit talasemia dan kos rawatan dari usia kanak-kanak hingga 40 tahun, serta sama ada kerajaan akan membangunkan kaedah rawatan terapi gen di Malaysia.
Mengulas mengenai terapi gen, Dzulkefly berkata kaedah itu melibatkan sel stem pesakit yang diubah suai secara genetik di makmal sebelum dimasukkan semula ke dalam tubuh.
Bagaimanapun, katanya kos rawatan itu amat tinggi mencecah kira-kira RM10 juta hingga RM13 juta bagi setiap pesakit, selain pelaksanaannya mencabar kerana memerlukan kemudahan khusus terapi gen, kepakaran multidisiplin serta mekanisme pembiayaan kesihatan yang mampan.
Mengenai Pemindahan Sel Stem Hematopoietik (HSCT), beliau berkata ia pilihan rawatan yang berpotensi menyembuhkan pesakit talasemia yang bergantung kepada transfusi darah di Malaysia, dengan kos antara RM100,000 hingga RM120,000.
Dzulkefly juga berkata perkhidmatan HSCT ditawarkan di Hospital Tunku Azizah di sini serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, dengan 212 pesakit talasemia telah sembuh melalui kaedah itu sejak 2007.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus mengenai pencapaian program talasemia di sekolah, beliau berkata seramai 2.46 juta murid telah ditawarkan saringan, dengan 57,910 daripada mereka disahkan sebagai pembawa penyakit itu manakala Sabah, Selangor dan Kedah mencatatkan jumlah tertinggi.
-- BERNAMA