GAYA HIDUP

Guru Temui Makna Berkhidmat Dalam Komuniti Orang Asli Di Pos Balar

29/01/2026 09:30 AM
Daripada Mohd Afiq Zulkifli

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Ketika ramai pendidik memilih penempatan lebih selesa berhampiran bandar, seorang guru menemukan kepuasan sebenar dalam berkhidmat apabila bertugas di sebuah sekolah dalam komuniti Orang Asli Temiar di pedalaman Gua Musang, Kelantan.

Hasmadi Ghazali, 48, mula bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar di Pos Balar awal bulan ini, menamatkan perkahwinan jarak jauhnya selama hampir 11 tahun bersama isterinya, Norsiah Along, 50, yang merupakan Orang Asli Temiar dan menetap di kawasan itu bersama anak-anak mereka.

Pos Balar adalah penempatan jauh di pedalaman yang hanya boleh diakses melalui perjalanan off-road dari Kuala Betis dengan jarak keseluruhan sekitar 90 kilometer dari bandar Gua Musang termasuk laluan tidak berturap sejauh kira-kira 60 kilometer.

pic-2

Sebelum ini, Hasmadi yang berasal dari Jengka, Pahang berkhidmat di SK Sri Kelana, Petaling Jaya, Selangor sejak 2013, dengan pengalaman luas mengajar di sekolah bandar, meskipun kehidupan peribadinya telah lama terikat dengan komuniti pedalaman melalui isterinya.

“Saya bersyukur dan gembira kerana memang menjadi harapan saya untuk berada di Pos Balar. Selepas beberapa kali memohon pertukaran, saya tidak menyangka akan ditempatkan di sini walaupun terdapat beberapa sekolah Orang Asli lain di Gua Musang.

“Di sini Islam sangat minoriti, jadi saya berharap dapat membantu usaha dakwah mengikut kemampuan saya, khususnya di luar waktu tugas hakiki sebagai guru, supaya mereka yang sudah Islam dapat terus dibimbing secara konsisten,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Menurut Hasmadi, SK Balar yang dibuka sejak 1994 menyediakan keperluan pendidikan kepada kanak-kanak Orang Asli Temiar dari 11 kampung di kawasan itu dan kini menempatkan 24 guru dan 296 murid termasuk 69 murid yang beragama Islam.

pic-3

Mengakui ini pengalaman pertamanya mengajar murid Orang Asli, Hasmadi berkata pendekatan pengajaran di sekolah berkenaan memerlukan kefahaman mendalam terhadap latar sosio-budaya komuniti setempat, selain tahap kesabaran dan kreativiti yang tinggi.

“Murid Orang Asli perlu diberi penekanan kepada literasi dan numerasi asas serta pendekatan berteraskan kasih sayang, berbeza dengan murid di bandar yang lebih terdedah kepada teknologi dan pelbagai media komunikasi.

“Murid Orang Asli juga mempunyai risiko keciciran yang lebih tinggi, sebab itu mereka memerlukan perhatian yang lebih khusus. Ada kalanya pendekatan ‘jemputan’ ke sekolah perlu dibuat supaya mereka terus hadir dan kekal dalam sistem pendidikan,” katanya.

pic-4

Selain pendekatan pengajaran, Hasmadi berkata keupayaannya bertutur dalam bahasa Orang Asli Temiar turut membantu komunikasi dengan murid dan komuniti setempat, sekaligus memudahkan interaksi harian serta membina kepercayaan secara lebih dekat.

Hasmadi yang mempunyai empat anak hasil perkahwinannya bersama Norsiah berkata penggunaan bahasa Temiar turut diamalkan dalam komunikasi harian di rumah bersama keluarga, sekali gus membantunya menyesuaikan diri dengan komuniti setempat

pic-5

“Bila boleh bertutur dalam bahasa mereka, pengajaran jadi lebih mudah difahami, terutamanya untuk perkara asas. Dalam masa sama, ia juga memudahkan saya menyampaikan bimbingan agama secara perlahan-lahan dan berhemah, mengikut kemampuan serta dalam konteks yang sesuai,” katanya.

Bagi Hasmadi, memilih untuk mengajar di Pos Balar bukan soal kemudahan atau keselesaan, sebaliknya keputusan yang selari dengan nilai hidupnya untuk berbakti dalam komuniti keluarga isterinya dan menyumbang mengikut kemampuan, di tempat yang kini dianggap sebagai rumah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2518025