Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Di sebalik kilauan pentas ratu cantik yang sinonim dengan dunia glamor, laluan itu membawa makna berbeza buat Taanusiya Chetty apabila menjadikan mahkota dirangkulnya sebagai suara memperjuangkan pendidikan dan masa depan kanak-kanak terpinggir.
Bagi Miss Wold Malaysia 2024/2025 itu, pertandingan ratu cantik bukan sekadar medan menyerlahkan keanggunan di hadapan kamera sebaliknya platform bermakna untuk mengetengahkan perubahan sosial, khususnya melalui inisiatif yang digerakkan sendiri demi membela golongan memerlukan.
Menerusi Projek Cahaya di bawah organisasi sosial Be The Change Malaysia, wanita berusia 25 tahun itu komited memperjuangkan isu pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak daripada komuniti terpinggir, termasuk masyarakat Orang Asli, menerusi pendekatan pembelajaran berkonsepkan sekolah dalam hospital.
pic-2
Inisiatif itu bertujuan memastikan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan perubatan tidak tercicir daripada pendidikan dan terus berpeluang membina masa depan yang lebih baik.
“Dengan adanya projek sebegini, kanak-kanak tidak perlu mengorbankan masa depan mereka akibat kekangan hidup. Pendidikan dan peluang yang sama seharusnya tersedia untuk semua tanpa mengira latar belakang atau lokasi,” katanya kepada Bernama.
Usaha memperjuangkan masa depan komuniti terpinggir itu, bagi Taanusiya tidak terhad kepada Projek Cahaya semata-mata, sebaliknya diperluaskan menerusi inisiatif yang memfokuskan pemerkasaan literasi digital serta akses pembelajaran untuk kanak-kanak luar bandar.
“Di bawah Projek Lestari Laut, program yang dilaksanakan di perkampungan Orang Asli, Sungai Dua, Pulau Ketam ini bertujuan membantu kanak-kanak memperoleh peluang pendidikan yang lebih setara dengan rakan sebaya, sekali gus merapatkan jurang pembelajaran antara bandar dan desa.
“Kami bukan sekadar mengajar membaca atau menulis, tetapi membantu mereka memahami bahawa setiap kanak-kanak itu penting, diterima dan mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan,” kata bakal guru berketinggian 173 sentimeter itu.
pic-3
Taanusiya berkata pendekatan kesejahteraan mental kanak-kanak turut menjadi penekanan dalam setiap program yang dilaksanakan kerana pendidikan semata-mata tidak memadai tanpa sokongan emosi dan bimbingan berterusan bagi membina keyakinan diri.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian di Management and Science University (MSU) Shah Alam itu percaya pembangunan holistik kanak-kanak hanya dapat dicapai apabila mereka mengenali nilai diri, menghargai potensi yang dimiliki serta berani bermimpi mengejar cita-cita.
Sehubungan itu, Taanusiya melihat peranannya sebagai Miss World Malaysia bukan sekadar gelaran, tetapi satu tanggungjawab untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat peluang membina keyakinan diri dan menatap masa depan dengan harapan yang lebih cerah.
“Melalui platform ini, saya dapat mengetengahkan isu pendidikan dan pembangunan komuniti. Saya percaya setiap usaha kecil mampu memberi impak besar kepada kehidupan seseorang.
“Pertandingan ini bukan sahaja membentuk saya sebagai seorang pemimpin, malah menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda,” katanya yang bakal mewakili Malaysia di pertandingan Miss World pada pertengahan tahun ini, namun lokasi acara masih belum ditetapkan.
pic-4
Mengulas persiapan menghadapi pertandingan itu, anak ketiga daripada empat beradik tersebut berkata tumpuannya kini adalah memperkukuh kekuatan mental dan emosi bagi mendepani tekanan serta jangkaan tinggi di pentas antarabangsa.
Selain itu, anak jati Cheras, Kuala Lumpur itu turut menitikberatkan disiplin serta pengurusan masa dalam menyeimbangkan peranannya sebagai pelajar, model dan pencipta kandungan melalui perancangan jadual yang tersusun.
“Dari segi fizikal, saya memberi tumpuan kepada latihan kecergasan hingga lima kali seminggu kerana saya mengutamakan segmen utama pertandingan seperti Sport Challenge, Talent dan Beauty With A Purpose (BWAP),” katanya.
Tidak terlepas daripada kritikan, Taanusiya memilih untuk menilai setiap pandangan sebagai ruang memperbaiki diri, dengan keyakinan bahawa persiapan sebenar bermula daripada pembinaan peribadi yang matang, berteraskan kepimpinan, empati dan rasa syukur sebagai wakil Malaysia di pentas dunia.
-- BERNAMA