AM

Aliran Trafik Di Pintu Masuk Kelantan Terkawal

15/02/2026 04:10 PM

GUA MUSANG, 15 Feb (Bernama) -- Aliran trafik melalui pintu masuk ke Kelantan bergerak perlahan di beberapa lokasi di Jalan Gua Musang-Kuala Krai hari ini, berikutan pertambahan bilangan kenderaan anak perantau yang pulang bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina. 

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata bagaimanapun aliran masih terkawal meskipun trafik mula meningkat sejak Khamis lepas. 

"Antara lokasi yang mengalami kesesakan adalah di laluan sementara Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Taman Wangi serta di setiap persimpangan lampu isyarat sepanjang laluan menghala ke Kuala Krai. 

"Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai menjadi tumpuan pengguna untuk pulang ke destinasi serta kampung halaman masing-masing," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif lain seperti Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Terengganu dan Lebuh Raya Timur Barat melalui Gerik, Perak bagi mengelakkan pemusatan pergerakan kenderaan di laluan utama.

"Tiada perancangan untuk penyuraian trafik dilakukan buat masa ini. 

"Pengguna jalan raya juga perlu mendapatkan rehat yang cukup dan memeriksa kenderaan supaya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524370