KUALA TERENGGANU, 15 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 468 saman atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tiga hari pelaksanaan Ops Khas Tahun Baharu Cina yang bermula 13 Feb.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata sebanyak 4,963 kenderaan diperiksa termasuk motokar, motosikal, kenderaan perkhidmatan awam dan barangan dengan 342 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan tertinggi melibatkan lesen kenderaan motor tamat tempoh, iaitu 138 kes diikuti tiada perlindungan insurans (119 kes) dan tiada lesen memandu kompeten (97 kes).
“Kesalahan lain yang merekodkan jumlah agak tinggi ialah tidak memakai topi keledar, gagal mematuhi isyarat lampu merah serta nombor pendaftaran dan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi,” katanya pada Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Tol Gemuruh di sini hari ini.
Mohd Zamri berkata JPJ Terengganu turut mengeluarkan 83 notis arah periksa dan 220 lain-lain notis dalam operasi itu.
Beliau berkata sebanyak 155 pegawai dan anggota penguat kuasa akan bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan operasi khas itu dari 13 hingga 22 Feb yang turut melibatkan rondaan di lokasi terpilih.
Operasi khas itu memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan dikenal pasti menjadi penyumbang utama kepada kemalangan serius termasuk memandu melebihi had laju dan memandu di lorong kecemasan.
Kesalahan lain ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar serta membawa lebih muatan dan muatan berbahaya.
-- BERNAMA