PONTIAN, 15 Feb (Bernama) -- Malaysia mempunyai potensi luar biasa untuk mencapai kemajuan lebih pesat sekiranya terus ditadbir dengan baik dan bersih, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pencapaian ekonomi negara ketika ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang kukuh, didorong kestabilan pentadbiran dan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi pertumbuhan ekonomi negara, khususnya pada suku keempat tahun lepas, melepasi jangkaan awal kerajaan.
“Saya sendiri sebagai Menteri Kewangan terkejut dengan angka yang kita peroleh bagi suku tahun akhir tahun lepas.
“Kita jangka pertumbuhan ekonomi kira-kira 5.4 hingga 5.5 peratus, tetapi Malaysia mencatat rekod pertumbuhan 6.4 peratus bagi suku keempat tahun lepas,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian dan Karnival Rakyat MADANI di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata pencapaian berkenaan bukan propaganda politik, sebaliknya mencerminkan kekuatan asas ekonomi negara serta keberkesanan dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Anwar berkata kejayaan itu turut disumbang oleh komitmen penjawat awam dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan kestabilan serta kemajuan negara.
Beliau berkata negara akan terus mencapai kemakmuran sekiranya kepimpinan kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik.
Dalam pada itu, Anwar berkata usaha membanteras jenayah termasuk penyeludupan dan dadah memerlukan kepimpinan tegas serta komitmen berterusan daripada semua pihak.
Beliau turut menyeru umat Islam supaya memperbanyak sedekah dan amal jariah sepanjang Ramadan bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.
-- BERNAMA