DUNIA

West End Di London Kembali Diterangi Cahaya Sempena Ramadan

15/02/2026 10:30 AM

ISTANBUL, 14 Feb (Bernama-Anadolu) -- Kawasan West End di London diterangi cahaya pada minggu ini apabila Datuk Bandar Sadiq Khan menyalakan lampu-lampu Ramadan di bandar raya itu pada Jumaat malam. 

Ini menandakan tahun keempat berturut-turut lampu hiasan berkenaan dipasang sebagai sebahagian daripada sambutan bulan suci Ramadan di pusat bandar London, lapor Anadolu Ajansi.

Lebih 30,000 lampu LED yang diinspirasikan daripada corak geometri Islam menyinari kawasan sekitar Leicester Square dan jalan-jalan berhampiran, memaparkan ucapan “Happy Ramadan” sebelum bertukar kepada “Happy Eid” pada 18 Mac.

Inisiatif itu dibiayai dan dianjurkan oleh Yayasan Aziz.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Khan menyeru perpaduan ketika ketegangan politik yang semakin meningkat dan peningkatan Islamofobia dengan berkata: “Marilah kita tunjukkan yang terbaik tentang London, yang terbaik tentang Britain dan yang terbaik tentang Islam.”

“Saya menyeru umat Islam dan penganut pelbagai agama lain termasuk Kristian, Buddha dan Sikh supaya bersatu sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Menyentuh konflik global yang lebih luas, datuk bandar itu menggalakkan orang ramai agar mengingati mereka yang menderita di Sudan, Semenanjung Gaza dan Ukraine melalui doa serta sumbangan amal, sambil memberi amaran terhadap pihak yang “menyemai benih perpecahan, kebencian dan ketakutan.”

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524247