AM

KTMB Tawar 20 Peratus Diskaun ETS Sempena Tahun Baharu Cina, Ramadan 

15/02/2026 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun istimewa 20 peratus bagi tren perkhidmatan ETS terpilih untuk perjalanan dari 15 hingga 22 Feb ini bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan tawaran itu melibatkan semua sektor perjalanan ETS dan penumpang boleh menikmati potongan harga berkenaan dengan menggunakan kod promosi ETSANGPOW20 dan ONGTRAIN20 bagi tarikh-tarikh terpilih ketika pembelian tiket.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 5,000 kod promosi ditawarkan dan pembelian tiket menggunakan kod promosi boleh dibuat mulai hari ini, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Azlan Shah Al-Bakri dalam kenyataan sama berkata tawaran berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan penyelesaian mobiliti yang cekap dan mesra rakyat.

“Diskaun 20 peratus ini memberikan peluang kepada penumpang menjimatkan kos perjalanan sepanjang musim perayaan, dan pada masa sama, penggunaan tren sebagai alternatif utama dapat membantu mengurangkan kesesakan lebuh raya serta memastikan perjalanan yang lebih lancar, selesa dan selamat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan memanfaatkan tempoh promosi yang terhad itu.

Tiket boleh dibeli menerusi aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios KTMB di stesen terpilih.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KTMB atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB menerusi talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524223