AM

MOT Selaras Semula Jadual Tren Seremban-Kuala Lumpur, Kurangkan Masa Perjalanan - Loke

14/02/2026 04:06 PM

SEREMBAN, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menambah baik operasi perkhidmatan KTM komuter termasuk meneliti dan menyelaras semula jadual perjalanan tren antara Seremban ke Kuala Lumpur bagi mengurangkan tempoh menunggu serta masa perjalanan penumpang.

Menterinya Anthony Loke berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bagi memperinci dan melaksanakan langkah mitigasi itu selepas Tahun Baharu Cina, sekali gus memastikan keselesaan orang ramai.

“Memang sekarang ini perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur ada tergendala. Saya tahu ramai warga Seremban mengadu tempoh komuter antara Seremban ke Kuala Lumpur lebih satu jam 45 minit dan kadang-kadang mengambil masa dua jam.

“Perjalanan ini lambat disebabkan di sepanjang jajaran itu kita sedang laksanakan kerja naik taraf landasan. Jadi ada bahagian tertentu kita hanya menggunakan satu landasan sehingga menjejaskan kelancaran pergerakan tren,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan pek cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Stesen Kereta Api Seremban, di sini hari ini.

Selain itu, Loke berkata penaiktarafan bangunan Stesen Kereta Api Seremban dan pembinaan Stesen Kereta Api Seremban yang baharu juga menimbulkan sedikit kesulitan kepada pengguna sekali gus berharap orang ramai memahami keadaan semasa.

“Kita memang berusaha membuat yang terbaik, tetapi stesen baharu ini dijangka mengambil masa setahun lagi untuk disiapkan. Menjelang tahun hadapan, stesen ini diharap memberikan keselesaan lebih baik kepada pengguna di Seremban,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata pihaknya sedang meneliti cara mempercepat projek menaik taraf Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang ketika ini sedang berjalan mengikut jadual.

“Kemajuan projek ini seperti biasa, memang ini pembinaan yang mencabar kerana mereka perlu membuat kerja dalam life track (landasan aktif) sebab track itu tak boleh tutup sepenuhnya. Jadi, apabila mereka buat kerja di satu landasan, di landasan yang kedua, tren berjalan seperti biasa.

“Jadi, sudah tentu ia akan menyulitkan kerana perlu mengambil kira aspek keselamatan. Setiap hari masa diperuntukkan jentera masuk dalam landasan agak terhad, sekali gus menyukarkan dan melambatkan proses pembinaan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524053