JOHOR BAHRU, 14 Feb (Bernama) – Polis Johor mengesan sebanyak 47 lokasi panas atau hotspot yang kerap berlaku kesesakan serta 38 lokasi black spot kemalangan di seluruh negeri ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata lokasi yang dikenal pasti itu adalah antara kawasan yang akan diberi tumpuan sepanjang Ops Selamat bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina.
"Lokasi tumpuan juga akan melibatkan laluan utama sempadan negara, iaitu Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 1,801 pegawai dan anggota merangkumi kesemua elemen digerakkan sepanjang operasi itu, termasuk 57 pegawai serta 619 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Operasi yang bermula esok hingga 20 Feb itu akan memfokuskan kepada kelancaran aliran trafik, meminimumkan kemalangan, terutama kes maut serta pencegahan jenayah pecah rumah.
Ab Rahaman berkata operasi itu turut memberikan tumpuan terhadap enam kesalahan utama jalan raya termasuklah memandu di lorong kecemasan, melebihi had kelajuan dan memotong barisan.
Dalam pada itu, beliau berkata kemasukan kenderaan ke negeri ini juga dijangka meningkat.
"Kita anggarkan 30 hingga 40 peratus peningkatan daripada biasa. Ramalan ini antaranya disebabkan cuti sekolah dan perayaan, selain orang ramai mengambil kesempatan untuk bercuti dan membeli-belah,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya memaklumkan pergerakan pulang ke kampung halaman kepada pihak polis sebelum bercuti.
Beliau berkata borang maklumat balik kampung boleh didapati di balai polis berhampiran atau menerusi Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
-- BERNAMA