AM

177 Pegawai KPDN Terengganu Pantau Harga Sempena Tahun Baharu Cina

14/02/2026 03:54 PM

JERTIH, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menggerakkan lebih 177 pegawai bagi memantau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata jumlah itu membabitkan 120 pegawai dan 57 pemantau harga yang akan menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan termasuk pasar awam, pasar raya, pasar tani, dan kedai runcit.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.

“Pemeriksaan dijalankan bagi memantau pematuhan atau menyiasat aduan pengguna supaya mana-mana ketidakpatuhan peniaga boleh diambil tindakan mengikut perundangan ditetapkan. 

“Kami berharap pihak terlibat mematuhi harga yang ditetapkan dengan menggunakan label merah jambu bagi barangan itu,” katanya selepas majlis pelancaran SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 peringkat negeri Terengganu di sebuah pasar raya di bandar Jertih, hari ini.

Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina di Terengganu melibatkan 14 jenis barangan harga terkawal, antaranya bawang merah besar, cili merah, lobak merah, ikan bawal putih dan sawi Jepun. 

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524009