MELAKA, 14 Feb (Bernama) -- Penubuhan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Melaka dilihat mampu menjadi medium penyelaras utama bagi menyuarakan keperluan golongan berkenaan, selain membuka lebih banyak ruang pembangunan bakat serta peluang pekerjaan secara tersusun dan bersepadu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata selain itu ia juga merupakan langkah strategik dalam memperkukuh jaringan antara komuniti OKU dan kerajaan negeri.
Beliau berkata penubuhan persatuan berkenaan telah lama dirancang sebelum direalisasikan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kepimpinan negeri serta kerjasama rakan strategik dan telahpun mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada minggu lepas.
"Persatuan ini merangkumi tujuh kategori OKU iaitu masalah pendengaran, penglihatan, fizikal, mental, autisme, pekak dan bisu, sekali gus menjadikannya platform inklusif yang menyatukan pelbagai latar belakang di bawah satu payung.
“Penubuhan ini bukan sekadar menghimpunkan ahli, tetapi menjadi jambatan strategik antara komuniti OKU dan kerajaan negeri supaya tiada yang tercicir dalam arus pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santai Bersama OKU Melaka 2.0 dan Pelancaran Persatuan OKU Melaka di sini hari ini.
Kalsom berkata selain menjaga hal kebajikan, fokus utama lain persatuan itu adalah untuk mencungkil lebih ramai bakat dalam kalangan OKU, khususnya dalam bidang sukan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Sukan seperti renang, olahraga dan angkat berat antara bidang yang dikenal pasti mampu menyerlahkan bakat atlet OKU Melaka, sekali gus mengangkat nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Ramai dalam kalangan mereka mempunyai keupayaan luar biasa. Kita yakin dengan bimbingan dan platform yang betul, lebih ramai atlet OKU dapat dilahirkan dan mencipta kejayaan,” katanya sambil menambah setakat hari ini persatuan itu telah berjaya mengumpulkan seramai 100 ahli.
Selain itu, katanya, persatuan tersebut turut memberi penekanan terhadap aspek kebolehpasaran dan peluang pekerjaan bagi memastikan ahli dapat berdikari serta meningkatkan taraf hidup.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 78 agensi telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan OKU di negeri itu.
"Semua usaha ini adalah selari dengan aspirasi kerajaan negeri yang komited memastikan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang, termasuk memperkasakan komuniti OKU melalui inisiatif khusus dan peruntukan khas bagi penganjuran sukan tahunan golongan tersebut.
"Dengan sokongan berterusan pelbagai pihak, Persatuan OKU Melaka optimis mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan menyeluruh komuniti OKU, sekali gus memperkukuh agenda inklusiviti dan kesejahteraan sosial negeri", katanya.
-- BERNAMA