SUKAN

Malaysia Sasar Juara Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026

13/02/2026 09:06 PM

SHAH ALAM, 13 Feb (Bernama) -- Skuad boling padang kebangsaan menyasarkan satu lagi gelaran juara apabila turun beraksi pada Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 18 Feb di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata kejohanan yang menawarkan mata ranking dunia itu disertai dua pasukan kebangsaan New Zealand, India, Hong Kong, Singapura, Wilayah Utara Australia, Malaysia A dan Malaysia B.

Beliau berkata kejohanan itu akan turut menjadi platform persediaan awal dan medan pemilihan skuad kebangsaan ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Julai depan.

“Pada Piala Dunia baru-baru ini (November lepas) disertai 12 negara, saya letak sasaran awal untuk jadi tiga terbaik, namun Alhamdulillah kita juara. Kali ini, sasaran adalah juara. Tiada kompromi dan tiada ruang tawar-menawar, kita mesti jadi juara keseluruhan.

“Ini merupakan kejohanan penting terakhir sebelum pemilihan atlet ke Sukan Komanwel. Ketika ini kita ada enam pemain lelaki dan enam wanita dalam senarai panjang sebelum tiga lelaki dan tiga wanita terbaik dipilih untuk beraksi dalam dua lelaki dan dua acara wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 di Bukit Jelutong di sini, hari ini.

 Awalan berkata kejohanan tersebut amat menarik kerana menggunakan format rasmi yang akan diguna pakai pada temasya Sukan Komanwel akan datang.

Beliau berkata berbeza dengan Piala Dunia sebelum ini yang masih memperkenalkan beberapa elemen baharu, format kali ini telah diputuskan secara muktamad termasuk pelaksanaan sistem pemasa (timer).

“Pada Piala Dunia tiada timer, timer ini bermaksud setiap atlet diberikan 30 saat, maknanya pemain tidak lagi boleh mengambil masa terlalu lama untuk menilai kedudukan head, jack atau bowl. Jika mahu lihat lebih dekat, mereka perlu bergerak pantas dan kembali semula sebelum masa tamat,” katanya.

Selain itu, Awalan berkata kejohanan tersebut juga diiktiraf World Bowls serta dikategorikan sebagai kejohanan bertaraf perak sekali gus menyumbang mata ranking.

Sebagai rekod, Malaysia yang juga tuan rumah muncul juara Piala Dunia 2025 dengan mengatasi antara pasukan terbaik dunia seperti Australia, Scotland dan England.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2523734